♥ Jom Follow ♥

Pinnnnn... pinnnnn....


Friday 12 December 2014

Seminar Sehari Bijak Mengurus Wang

Bismillahirrahmanirrahim.

Hari ni aku nak share sedikit ilmu tentang kewangan. Ini sebenarnya teks ucapan aku masa morning prayer kt office Jumaat lepas. Rajin-rajinkanlah diri untuk belajar ilmu baru dan paling penting always empty your cup bila belajar. Kalau tak, ilmu baru tak akan masuk.



Disclaimer: Perkongsian di bawah ada yg 100% copy dari blog & internet sebab asalnya teks ni untuk dikongsi dengan officemate. Kepada pemilik blog/ayat berkaitan, mohon maaf sebab aku tak quote blog anda. Tak ingat yang mana satu.


Bismillahirahmanirrahim. Tiba giliran saya untuk Sesi Perkongsian Ilmu. Hari ini saya tidak berkongsi hadis, sebaliknya nak berkongsi sedikit terjemahan ayat al-Quran. Saya memetik kata seorang blogger di internet:

“Ayat-ayat al-Quran mempunyai terjemahan dan tafsirannya tersendiri. Al-Quran hanya menyatakan prinsip-prinsip ilmu kepada umat manusia. Manakala kita sebagai manusia biasa perlu mengkaji terjemahan dan tafsiran ayat al-Quran atau mempelajarinya terus daripada orang yang telah membuat kajian mengenai ayat-ayat al-Quran.

Mungkin sekiranya kita membaca sendiri terjemahan ayat-ayat al-Quran, kita tidak akan memahami ayat-ayat tersebut secara terus kerana ia mengandungi maksud tersurat dan tersirat mengenai sesuatu. Adalah lebih baik sekiranya kita membaca buku-buku yang membincangkan terus mengenai tafsiran ayat-ayat al-Quran ini mengenai bab-bab tertentu. Contohnya adalah seperti berikut:

1. Sekiranya kita ingin mengetahui mengenai kisah-kisah kaum terdahulu di dalam al-Quran, adalah lebih baik kita membaca buku Kaum-kaum yang Pupus tulisan Harun Yahya. Buku ini memperincikan ayat-ayat al-Quran yang menceritakan kaum-kaum terdahulu yang sudah tiada lagi di alam yang fana ini. Kaum-kaum yang diceritkan dalam buku ini ialah kaum ‘Ad, Kaum Thamud, Kaum Saba’ dan lain-lain lagi.

2. Untuk mengetahui ayat-ayat al-Quran yang menyebut mengenai riba’ secara terperinci, adalah lebih baik kita membaca buku Riba dan Isu Kewangan Semasa tulisan Zaharuddin Abd. Rahman dan Riba : Perangkap Dosa Besar dalam Urusan Kewangan tulisan Hisham Ahmad.”

Manakala daripada surah Yusuf antaranya ialah ialah ilmu tentang pengurusan sumber kewangan dan bekalan melalui Surat Yusuf Ayat 47-49. Perkongsian ini sebenarnya saya dapat melalui Seminar Sehari Bijak Mengurus Wang, semalam.

Surah Yusuf ayat 46-49 menceritakan bagaimana kita perlui sentiasa beringat dan berjimat-cermat serta bersedia dengan segala persiapan untuk menghadapi sebarang bencana supaya tidak kelam kabut di saat akhir atau tatkala ditimpa bencana. Kalau saya boleh recall latar belakang ayat ini sebenarnya pada masa itu Sultan Mesir bermimpi, dan tiada seorang pun mampu mentafsirkan mimpi Sultan tersebut . Lepas itu, Sultan Mesir dapat tahu Nabi Yusuf (yang pada ketika itu merupakan tahanan penjara) boleh mentafsir mimpi dengan benar. Lepas Nabi Yusuf tafsirkan mimpi Sultan, baginda dilantik menjadi Menteri Kewangan Mesir.

Tafsiran mimpi tersebut diceritakan pada ayat 46 iaitu:

Surah Yusuf : 46 "Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): 'Yusuf, wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! Ta`birkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering (ta`birkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui ta`birnya." 

Surah Yusuf : 47; Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang tanam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya ; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.

Surah Yusuf : 48; Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih) ” 

Ayat: 49; Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)"

Ayat 46 merupakan soalan daripada Sultan Mesir. Manakala ayat 47-49 adalah tafsiran dan nasihat daripada Nabi Yusuf yang boleh dipecahkan kepada 3 fasa. Iaitu ayat 47: Zaman senang, Ayat 48: Zaman Susah, Ayat 49: Zaman Pemulihan.

Daripada ayat di atas terutama ayat 47, ada tiga isi utama yang dapat kita fahami iaitu:

1. Menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang tanam.
2. Biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya.
3. Kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.

Dari isi pertama ayat 47, kita perlu menyimpan dahulu pendapatan yang kita perolehi dan bukannya berbelanja dahulu dan menyimpan sekiranya ada lebihan. Formula yang sebetulnya untuk menyimpan adalah Gaji – Simpanan = Perbelanjaan

Dalam kata lain, bila tiba hari gaji, terus asingkan certain amount untuk ke akaun lain yang tak ada kad atau akses ke duit tu susah. Contoh, Tabung Haji (jangan link kan dengan kad ATM) dan ASB. Kalau rasa tak boleh konsisten, buat potongan gaji. InsyaAllah, ia akan membentuk disiplin anda untuk menyimpan. Sebabnya, kalau kita rasa susah nak menyimpan, percayalah, lebih susah kalau kita tak menyimpan.



Biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya. Ayat ini menunjukkan bahawa gandum perlu dibiarkan pada tangkainya sahaja dan disimpan. Ini adalah untuk mengekalkan khasiat gandum sebelum tujuh tahun sebelum ia digunakan sewaktu tujuh tahun zaman kesusahan.

Ayat ini menyuruh kita agar menukarkan duit kita kepada dalam bentuk aset ataupun komoditi seperti emas, perak, hartanah dan sebagainya. Kita perlu menukar duit kita dalam bentuk aset kerana supaya duit simpanan kita itu kalis inflasi. Kerana duit RM50 dalam poket kita pada hari ini adalah tidak sama dengan nilainya untuk tempoh  5 tahun akan datang. Kalau kita tak nak tukar dalam bentuk asset sekalipun, kita boleh simpan ditempat-tempat yang memberi pulangan dividen yang lebih tinggi daripada nilai inflasi tahunan semasa.



Kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Ayat menyeru kepada kita supaya berbelanja setelah kita memperuntukkan jumlah untuk disimpan. Kita perlu tahu komitmen kita setiap bulan untuk makan minum, bil-bil, sewa, hutang-hutang dan sebagainya. Adalah tidak cerdik dipandang orang apabila kita berbelanja melebihi pendapatan kita setiap bulan.

Itu untuk Ayat 47 iaitu Fasa Senang. Yang bermaksud, fasa di mana kita belum ada banyak komitmen dan hutang dan duit gaji kita tu masih boleh bawa bershopping, berjalan-jalan.

Ayat 48 iaitu fasa kesusahan: tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan yang bermaksud akan datang zaman tiba-tiba kita terdesak nak guna duit untuk sekolah, tiba-tiba duit poket kering dan sebagainya, masa ni kita kena gunakan sedikit dari yang kita simpan. Masa ni kita kena buat bali re-alignment untuk kewangan kita dan susun balik perbelanjaan. Potong hutang-hutang yang ada. Mana perbelanjaan yang tak perlu, kita buang terus atau kurangkan.

Ayat 49 iaitu fasa pemulihan: Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah masa inilah kita dapat balik merasa nikmat kita menyimpan tadi. Contohnya kalau simpanan awal kita di ASB ada RM10ribu, lepas 30 tahun berkerja, simpanan kita tu berpotensi untuk membiak sehingga RM600ribu.

Akhir kata, setiap kali dapat duit gaji atau bonus, pertimbangkan semula sama ada nak berbelanja atau nak bersabar dan gunakan duit tu untuk melabur semula. Tak rugi kalau kita menjadi orang yang bersabar.

Wallahualam, sekian.

p.s: InsyaAllah lepas ni aku akan kongsikan jenis-jenis tabung yang perlu ada untuk masa hadapan. Perlu diingatkan, perkongsian ini adalah ilmu aku belajar dari Tuan Pakdi (Suzardi Maulan). Wallahualam ~ Allah jua yang Maha Mengetahui.